Pages

Cari apa der ?

Friday, 28 October 2011

Mimpi atau . . .?

Saat paling menakutkan itu bermain di minda aku. Aku masih tertanya-tanya, apa maksud kejadian yang menimpa diriku. Nasib sahaja kejadian itu bukan realiti tetapi dalam mimpi sahaja. Mujur aku masih hidup ketika itu. Cerita ini aku tidak tahu pokok pangkalnya, yang aku tahu ia bermula begini. . .

Awan biru kelihatan lembut di mataku. Deruan angin pantai yang terasa dingin. Pohon kelapa terikut lentok dibuai angin laut yang tidak diketahui arah mana tibanya. Aku bangun dari perbaringan di buaian yang telah tersedia diikat pada dua buah pohon kelapa itu. Aku menuju ke bibir pantai. Kakiku menguis pasir pantai yang jernih itu. Kemudian air laut menyapu kakiku yang dilitupi pasir itu. Bersih.
Aku memandang laut nan terbentang luas di hadapan ku. Sangat luas. Seperti tiada penghujungnya. Aku berlari ke arah adikku. Kami bermain kejar-kejaran. Ibu dan abah hanya memandang sahaja dari resort penginapan kami. Matahari seakan memahami keadaan kami ketika itu. Ia tidak memancarkan sinaran yang terlalu panas. Sinarannya seperti tatkala senja mula melabuh tirainya.
Yang anehnya tentang laut ini, di atasnya seperti terbentang jala ikan. Entah bagaimana jala itu terapung di atas air laut itu pun aku tak tahu. Aku hanya tahu ia seperti terapung di atas air laut itu. Tidak tenggelam walaupun jala itu kelihatan berat. Aku bingung melihat keadaan itu. Aku menunduk ke pasir pantai dan mula menggores sesuatu di atasnya. Sesuatu yang tidak pasti dan tidak jelas.

Tiba-tiba aku merasakan degup jantung ku tidak teratur. Tatkala itu mataku tertancap pada bayang-bayang yang besar sedang mencanak naik. Makin lama makin tinggi. Seperti automatik dan tanpa disuruh ia terus menaik laju sehingga mencecah langit. Aku hanya memandang kaku. Tatkala itu hati ku hanya menyebut ‘Subhanallah’.

Pengunjung pantai yang lain sudah berlari bertempiaran menyelamatkan diri. Mereka menyangka tsunami akan melanda pantai itu. Kedengaran pelbagai jeritan dari segenap sudut.

“Tolong!! Tolong!!”
“Tsunami weh! Lari! Lari!”

Saat itu baru aku tersedar dan segera mendapatkan ibu dan abahku yang berada di dalam rumah yang asing bagiku. Aku terus menolak kasar pintu, lalu menuju ke hujung penjuru bilik. Aku memegang kepala lututku sambil menangis. Aku hanya memikirkan kematian sahaja saat itu.

Ibu dan abahku hanya duduk tenang sambil berborak rancak. Ibu yang sedang melipat pakaian sambil berbual rancak dengan abah.
“Dahlah Ain. Tak payah nangis. Kalau ajal dah tiba, tiba juga ia. Tiada siapa boleh halang.” Tegur ayahku yang mungkin terdengar esakan ku itu.

“Memanglah. Tapi bukan sekarang masanya.” Detik hatiku.

Aku tak mampu meluahkan kata-kata ketika itu. Bibirku hanya menyebut nama Allah sahaja. Tiada yang lain kecuali Dia.

“Nanti surut lah air laut tu. Bila a…”belum sempat ayahku menghabiskan kata-katanya. Azan yang entah dari mana tiba-tiba kedengaran. Kuat. Aku terasa seperti azan itu berkumandang di belakang rumah itu sahaja.

Saat itu, aku bangun dan melangkah keluar pergi ke pantai. Aku melihat air laut itu kemudian surut secara perlahan-lahan. Seperti berlaku pengecutan. Azan terus berkumandang di udara. Air laut turut surut. Lama kelamaan air laut mula menjadi seperti sediakala. Ketika itu, azan sudah pun berhenti. Air laut menjadi tenang dan kembali ke asal

Lantas aku terjaga dari tidur. “Astaghfirullahalazim”

0 pembaca TERHEBAT !:

Post a Comment

komen anda sangat dihargai :)

hak milik sepenuhnya nur ainatul mardhiah